Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja
30/04/2024

mjpm_300424.jpg

Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Workplace Safety and Health Conference - WSHCON) selama dua hari bermula 30 April hingga 1 Mei 2024 dilancarkan pagi tadi bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Persidangan adalah bersempena Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia (World Day for Safety and Health at Work) anjuran tahunan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).

Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia pada tahun ini yang bertemakan 'Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan' memberi tumpuan terhadap perubahan iklim yang memberi kesan kepada tempat kerja, terutamanya menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pekerja.

Persidangan ini akan menjadi wadah penting bagi membawa bersama pakar-pakar dan wakil-wakil kerajaan dan industri serta pakar kesihatan untuk mengongsikan ilmu dan pengalaman serta membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan dengan penambahbaikkan dalam budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seperti bekerja di tempat tinggi dan pematuhan kepada perundangan yang sedia ada serta meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan kesan perubahan iklim terhadap kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

WSHCON 2024 menampilkan barisan penceramah antarabangsa dari pelbagai pertubuhan yang terlibat dalam meningkatkan piawaian keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Ini termasuk wakil-wakil dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM), Majlis Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja Singapura (WSH Council), Persatuan Kebersihan Industri Malaysia (MIHA), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).

Pakar-pakar ini akan berkongsi strategi-strategi yang berkenaan serta pandangan mereka sendiri, meningkatkan dialog dalam mengatasi bahaya pekerjaan yang berkaitan dengan perubahan iklim serta membina budaya pematuhan, perpaduan tempat kerja dan pencegahan bahaya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga selaku Menteri yang bertanggungjawab atas SHENA.

Dalam ucaptama pada Pelancaran Rasmi Majlis WSHCON 2024, Yang Berhormat menekankan kesan kritikal mengenai perubahan iklim terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah global dan domestik yang mempengaruhi pelbagai Sektor Pekerjaan.

Yang Berhormat dalam pada itu, juga menegaskan untuk mempunyai strategi keselamatan yang inovatif dan menyeluruh untuk mengurangkan bahaya pekerjaan akibat perubahan iklim dan menekankan bahawa persepaduan dasar negara, kemampanan alam sekitar dan keselamatan tempat kerja adalah penting untuk membina masa depan yang berdaya tahan dan saksama.

Dalam pada itu, ucapan alu-aluan juga turut disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA, Awang Haji Mohd Yusof bin Haji Mohd Taufik yang antara lain berkata bahawa SHENA akan terus mengiktiraf dan menekankan semula kepentingan pemupukan budaya pematuhan yang sejajar dengan undang-undang dan peraturan negara, meneroka peranan majikan dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta amalan dalam mengutamakan kesejahteraan holistik tenaga kerja.

Juga hadir pada acara pembukaan tersebut adalah Ahli-ahli Lembaga Pengarah SHENA, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tempatan, perwakilan asing serta pemain utama dalam bidang keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE).

WSHCON 2024 akan menampilkan lapan sesi panel yang merangkumi pelbagai tajuk mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti kesan dan strategi untuk keselamatan dan kesihatan tempat kerja, pengurusan risiko kesihatan pekerjaan, pencegahan tekanan atau 'burnout' dan menggalakkan kesejahteraan serta langkah-langkah bagi mengurangkan risiko bekerja di tempat tinggi.

Persidangan tersebut akan disertai oleh lebih daripada 20 penceramah dari pelbagai sektor industri, 20 pameran dan dijangka akan menarik lebih dari 400 peserta tempatan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​